Pengolahan Isi Karangan Fakta Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna. Karangan juga persis manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan. Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan. Mengetahui Kehendak Karangan Setelah memilih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Dalam kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Ini untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat dan terelak daripada terpesong isi atau terkeluar daripada tajuk. Membina Perenggan Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat. Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Dengan yang demikian, karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan. Untuk memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis. Untuk peringkat PMR, sebaik-baiknya tiga atau empat ayat, manakala untuk SPM, seelok-eloknya dibina lima ayat. Ini penting untuk mengimbangkan huraian dan juga jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan. Perenggan Pendahuluan Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya. Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti. Lihat contoh pendahuluan di bawah:
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air". Perenggan Isi Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan. Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai. Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut. Perenggan Penutup Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan. Menyatakan semula Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. Contohnya:
Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama. Membuat ramalan Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.
Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir. Memberikan syor Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:
Unsur-unsur Lain yang Penting Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan. Mematuhi jenis karangan dan format Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan. Bahasa yang berkesan Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Manakala perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan. Ejaan dan tanda baca Didapati kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Tetapi markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Banyak pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Didapati tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali. Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan. Suhaimi Mohd Salleh |
Untuk memperoleh markah 90 – 100 iaitu karangan yang berada pada tahap Cemerlang (Atas) ciri-ciri atau aspek-aspek berikut perlu ada atau dipenuhi .
Isi 1 + Huraian + Contoh Isi 2 + Huraian + Contoh
Isi 3 + Huraian + Contoh Isi 4 + Huraian + Contoh
Isi 5 + Huraian + Contoh Isi 6 + Huraian + Contoh
Pengolahan Ayat dalam Karangan Fakta
Sejak akhir-akhir ini pelbagai penyakit berbahaya sedang melanda masyarakat di negara kita. Pada pandangan anda, apakah peranan ibu bapa untuk menangai penularan penyakit berbahaya ini.
Pendahuluan
Sejak akhir-akhir ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya. Hal ini telah membangkitkan kebimbangan semua pihak terutamanya ibu bapa yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung dan menangani penularan penyakit berbahaya ini. Namun demikian, usaha gigih ini belum menampakkan hasil yang diharapkan. Jika dilihat secara tuntasnya, ibu bapa mempunyai peranan yang besar untuk mengekang penularan penyakit berbahaya ini.
Isi
i. Ibu bapa perlu memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal berada dalam keadaan bersih.- tidak ada air yang bertakung
- yang boleh menyebabkan nyamuk membiak - sampah sarap dibuang ke tempat yang disediakan.
ii. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan
.- Anak-anak diingatkan supaya membasuh tangan selalu.
- Tidak bermain di tempat-tempat yang kotor.
- Menggunakan sabun berubat untuk membersihkan diri.
iii. Ibu bapa perlu membawa ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan penyakit berbahaya.
- Mendapatkan rawatan di hospital yang bertauliah.
- Menempatkan ahli keluarga di wad untuk mendapat rawatan susulan.
- Ibu bapa selalu mendapatkan nasihat doktor tentang bahaya penyakit dan cara-cara menanganinya.iv. Ibu bapa perlu peka dengan maklumat atau hebahan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
- Mengingatkan anak-anak supaya memakai topeng muka.- mendapatkan suntikan pencegahan di pusat kesihatan berdekatan.
- mengambil makanan yang dapat mengurangkan risiko serangan penyakit.
Kesimpulan
Kesimpulannya penularan penyakit berbahaya merupakan satu ancaman yang datang tanpa diundang. Ibu bapadan seluruh masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan untuk bertindak kerana menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Semua pihak hendaklah menggemblengkan tenaga untuk menangani wabak penyakit berbahaya. Jika tidak seluruh keluarga akan mendapat musibah. Kerjasama semua pihak akan dapat menghindarkan seluruh masyarakat daripada menjadi mangsa penyakit berbahaya keranamencegah itu lebih baik daripada mengubati.